MENU

 

SETIU: Selepas Pantai Kekabu di Marang, tiga lagi pantai di Terengganu mencatatkan penemuan obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese man o' war.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata tiga lagi pantai berkenaan ialah Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, Pantai Rhu 10 di Setiu dan Pantai Bukit Keluang di Besut.

"Sehubungan itu, kita menasihatkan pengunjung agar tidak bermandi-manda di kawasan pantai (negeri ini) buat masa ini kerana dikhuatiri terkena sengatan obor-obor ini.

"Ini kerana masih tiada anti venom untuk serangan obor-obor ini kecuali ubat penahan sakit sahaja. Menurut ahli sains, kesan serta merta yang dirasai dalam tempoh tiga minit ialah kekejangan yang menimbulkan kesakitan melampau," katanya kepada pemberita di program Hari Pengembangan Perikanan peringkat negeri Terengganu di sini pada Sabtu.