MENU

Tokoh-Tokoh Pengukir Tempatan
 

1. Allahyarham Y.M Tengku Ibrahin bin Tengku Wook

Tengku Ibrahim bin Tengku Wook atau lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai ‘Ayoh Ku' merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1929. Allahyarham kemudiannya telah berhijrah dan menetap di Kg. Gong Kemuntong, Besut, Terengganu.

Beliau mula melibatkan diri dalam bidang ukiran ketika berusia 16 tahun dengan mengukir tingkap rumah dan kepala katil. Kemahiran beliau amatlah disanjung sehingga diberi kepercayaan dan tanggungjawab oleh Perbadanan Kemajuan Kraf Malaysia Cawangan Terengganu untuk melatih 14 orang pelajar dalam bidang ukiran halus.

Hasil daripada penglibatan beliau dalam bidang seni ukiran, beliau telah dianugerahkan gelaran ‘Tokoh Kraf Negara' pada tahun 1999. Pada tahun 2000 Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan hasil tangan yang diharapkan akan terus di kagumi oleh generasi akan datang.

2. Allahyarham Che Long bin Yusof

Allahyarham Che Long bin Yusof dilahirkan pada tahun 1868 dan meninggal pada tahun 1962 merupakan penggiat seni yang aktif khususnya dalam bidang seni ukiran tradisional melayu.
Allahyarham menghasilkan mimbar, perahu, pintu, panel hiasan dinding, keris dan senjata tradisional melayu. Antara hasil kerjanya terdapat di Istana Sultan Abu Bakar, Johor dan Istana Tengku Long, Kg. Raja. Antara anak-anaknya yang turut mewarisi bakat Allahyarham ialah Allahyarham Abd. Rahman bin Long, Mohd Nor bin Long dan Abd. Latif bin Long.

3. Allahyarham Abd. Rahman bin Long PJK

Allahyarham Abd. Rahman bin Long yang dikenali dengan nama Che Man Ukir dilahirkan di Kg. Cawat Kuala Besut pada tahun 1941 dan telah meninggal pada 25 Mei 2005.

Allahyarham yang telah membuat kerjatangan daripada kayu, tempurung dan tanduk sejak masih kanak-kanak mempelajari ilmu ukiran kayu daripada bapa beliau iaitu Che Long bin Yusof.
Allahyarham telah membuka bengkel Pakatan Jurukir Tradisional di Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1975 dan sebuah lagi bengkel di Kg, Sentosa Pengkalan Nyireh, Besut pada tahun 1984.

Antara hasil ukiran beliau ialah; hiasan dalaman Istana Kayangan Shah Alam, Istana Negara Kuala Lumpur, Masjid Annur di Woodland Singapura, Istana Arau di Perlis, Masjid Negeri di Pulau Pinang, Istana Melawati dan Dewan Undangan Negeri Selangor.

4. Mohd Salizan bin Abd Rahman

Mohd Salizan dilahirkan pada tahun 1969 merupakan anak kepada Allahyarham Abd Rahman bin Long. Beliau mendapat pendidikan di peringkat Diploma Senibina dari University of Lincolnshire and Humbersire, UK.

Setelah menamatkan pengajian beliau mula aktif dalam bidang seni ukiran melayu, malah sebenarnya semenjak kecil beliau telah dididik oleh bapa beliau untuk meneruskan tradisi ini.
Antara hasil kerja beliau ialah ukiran hiasan di Istana Kedahdan Istana Kuala Kangsar. Beliau kini mengusahakan bengkel ukiran iaitu Pakatan Jurukir Tradisional dan Jurukir Tradisional Sdn Bhd bersama adik beradik beliau iaitu Zulkifli, Syamsul Anua dan Mohd Shazrimin.