MENU

Tokoh-Tokoh Pengukir Tempatan

5. Haji Wan Su bin Othman A.M.N, P.J.K

Hj. Wan Su bin Othman dilahirkan pada tahun 1900 di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan. Beliau telah berhijrah ke Kg. Raja, Besut pada tahun 1947. Pada awalnya, beliau membuat kerja-kerja tangan seperti replika perahu layar, wayang kulit dan wau cantik. Hasil karya beliau mendapat sambutan di kalangan peminat seni dan sering memenangi pertandingan yang disertainya. Beliau kemudiannya menubuhkan Bengkel Seni Ukir Wan Su di Kg. Alur Lintang pada tahun 1965.

Di antara hasil kerja beliau adalah Mimbar Masjid Kg. Alur Lintang, Besut, Pintu Besar Istana Badariah di Kuala Terengganu, Pentas Panca Persada Istana Maziah di Kuala Terengganu serta Pintu dan Pentas Santapan Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Menghargai bakat dan hasil usaha beliau dalam memartabatkan seni warisan bangsa ini, beliau telah menerima anugerah Tokoh Seni Negara pada tahun 1997.