MENU

7. Norhaiza bin Nordin

Encik Norhaiza bin Nordin dilahirkan di Kg. Raja pada 20 Februari 1963. Setelah menamatkan persekolahannya pada tahun 1984, beliau telah menimba ilmu berkaitan bidang ukiran ini dengan beberapa tokoh ukiran tersohor. Beliau mula bekerja sambil belajar di Balai Seni Ukir Wan Mustafa Su, sebelum belajar dengan Allahyarham Tengku Ibrahim bin Tengku Wook, diikuti dengan Allahyarham Hj. Abd Rahman Long. Beliau juga turut berguru dengan Allahyarham Nik Rashidin bin Nik Husin, seorang pengukir terkenal di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau menubuhkan bengkelnya sendiri yang dinamakan Bengkel Seni Ukir Bakawali pada tahun 1990. Antara hasil kerja beliau adalah hiasan dalaman Muzium Negeri Terengganu, Taman Lagenda Langkawi, hiasan dalaman Masjid Al-Hana di Kuah, Langkawi, Masjid Mukah di Sarawak dan hiasan Istana Melawati Petra Jaya. Ukiran beliau juga turut mendapat tempat di Auditorium dan Galeri Oxford Centre of Islamic School di Universiti Oxford, United Kingdom.

Beliau menghasilkan buku ‘Spirit of Wood, The Art of Malay Wood Carving' yang memuatkan hasil beliau dan Allahyarham Nik Rashidin yang diterbitkan pada tahun 2003.
Usaha beliau menghidupkan seni ukiran di mata dunia dengan mengadakan pameran ‘Spirit of Wood' yang dipamerkan di Asian Civilisation Museum, Singapura pada tahun 2003, Brunei Gallery London pada tahun 2004 dan Muzium Negara dan Muzium Terengganu pada tahun 2005.

 

Sumber Daripada: desaukirankayu.blogspot.com