Pelepasan peserta dilakukan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Siti Mariam Abd. Hamid bersama Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim mengetuai peserta bersama Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Mohd. Salleh dan Yang Dipertua MDB, Ahmad Azizi Zulkifli.

Program kali kedua anjuran MDB yang melibatkan kayuhan sejauh 41 kilometer itu menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai hampir RM40,000 termasuk sebuah motosikal Yamaha Y15ZR sebagai hadiah utama.

Jurucakap penganjur, Siti Syaza Mohd. Maniyamin berkata, selain motosikal Yamaha, pelbagai hadiah lain termasuk basikal dan peralatan elektrik menjadi rebutan hadiah cabutan bertuah.

"Peserta akan mengelilingi kampung- kampung di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum kembali semula ke tempat permulaan di pekarangan Kota Putera Square," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, program itu diadakan bertujuan memupuk semangat berpasukan dalam menjayakan aktiviti di samping membentuk hubungan baik antara kakitangan MDB dengan komuniti setempat.

Selain itu tambahnya, aktiviti berbasikal akan membentuk budaya sihat menerusi aktiviti riadah serta memperkenalkan lokasi menarik yang terdapat di daerah ini. - UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/1-000-sertai-mdb-fun-ride-2-0-1.981396