PROGRAM LOCAL AGENDA 21: PROGRAM KEHIJAUAN DAN PEMBERSIHAN PANTAI BUKIT BUBUS
27 Jun 2026 | Pantai Bukit Bubus
Program Local Agenda 21: Program Kehijauan dan Pembersihan Pantai Bukit Bubus telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara pelbagai Agensi Kerajaan, 3A Adventures Paragliding, Geng Plastik Ija, Institusi Pengajian Tinggi serta komuniti setempat yang berganding bahu dalam menjayakan usaha pemuliharaan alam sekitar.
Program ini telah dirasmikan oleh Mohd bin Sulaiman, Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Daerah Besut. Sepanjang program berlangsung, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persisiran pantai telah berjaya mengumpulkan sebanyak 450KG sisa pepejal yang bertebaran di sepanjang Pantai Bukit Bubus. Kejayaan ini membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan kawasan pantai sentiasa bersih, selamat dan lestari untuk dinikmati oleh masyarakat serta generasi akan datang.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif penghijauan kawasan pantai, sebanyak 50 batang pokok telah ditanam yang terdiri daripada tiga spesies iaitu Syzygium antisepticum (Gelam Tikus) yang merupakan Pokok Rasmi Majlis Daerah Besut, Pongamia pinnata (Mempari) dan Syzygium grande (Jambu Laut). Inisiatif ini diharapkan dapat menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem pesisir pantai di samping meningkatkan kehijauan kawasan tersebut.
Majlis Daerah Besut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program ini. Semoga usaha murni seperti ini akan terus diperkasakan bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan bersama.
"Bersama Memelihara Alam, Demi Besut yang Bersih, Hijau dan Lestari."
























































