SESI LIBAT URUS PEGAWAI DAERAH BESUT BERSAMA PENGUSAHA BOT PULAU PERHENTIAN
23 Jun 2026 | Mimpi Resort, Pulau Perhentian
Majlis Daerah Besut telah menghadiri Sesi Libat Urus yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Besut bersama pengusaha bot Pulau Perhentian bagi membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan pelancongan dan keselamatan pengunjung di Pulau Perhentian.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu, Ketua Jabatan Taman Laut Besut, Pengarah MOTAC Negeri Terengganu serta wakil-wakil agensi berkaitan.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah aspek keselamatan pengunjung di Pantai Pasir Panjang, khususnya melibatkan pergerakan bot yang beroperasi berhampiran kawasan mandi.
Bagi meningkatkan tahap keselamatan, Jabatan Taman Laut akan melaksanakan pemasangan boya di sepanjang Pantai Pasir Panjang, termasuk menyediakan laluan khas keluar masuk bot. Langkah ini akan mengasingkan kawasan operasi bot daripada kawasan aktiviti berenang dan snorkeling. Bot juga tidak dibenarkan memasuki kawasan di dalam boya bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terpelihara.
Majlis Daerah Besut komited untuk terus bekerjasama dengan semua agensi serta pengusaha pelancongan dalam memastikan Pulau Perhentian kekal sebagai destinasi pelancongan yang bersih, selamat, teratur dan berkualiti.
#MajlisDaerahBesut #TerengganuMajuBerkatSejahtera #PulauPerhentian #Pelancongan #KeselamatanPengunjung









