Kawasan air hangat ini terletak di pendalaman Hulu Besut kira-kira 28 km dari Bandar Jertih Terengganu. Pusat Pelancongan ini atau lebih dikenali dengan panggilan La Hot Spring telah dibuka kepada orang ramai sebagai tempat pelancongan pada tahun 1992 sempena perlancaran Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut.
Pusat rekreasi ini sebenarnya sudah lama wujud dan dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap hujung minggu dan cuti am untuk menikmati keindahan alam semulajadi.
Pengunjung berpeluang melihat air hangat yang keluar menerusi lubang dari sebuah bukit dan terus mengalir ke dalam kolam yang disediakan.
Air hangat yang mengalir ini mengandungi kimia "SULFUR" atau belerang dengan kehangatannya mencapai 49 darjah celsius. Ianya berkhasiat untuk mengubati penyakit kulit dan juga boleh dimandi. Di sini juga terdapat Wadding Pool bekas air hangat (thermos).
Selain itu, air hangat buatan juga dibina selain kolam seperti spa bagi memudahkan orang ramai untuk menikmati kehangatan air hangat buatan ini secara persendirian. Di sini, pengunjung yang datang tidak pernah berkurang kerana setiap masa dikunjungi. Tarikan utama adalah air hangat semulajadi yang menjadi kepercayaan masyarakat yang dapat menyembuhkan penyakit selain mendapatkan kesegaran tubuh badan.
La Hot Spring juga menyediakan banyak kemudahan untuk orang ramai seperti rumah rehat, musalla, tandas awam, restoran dan lain-lain lagi.